[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=fHv8fu2xwg0[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, perlu dijadikan pengajaran terhadap masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk terus bersatu padu dan hidup dalam harmoni.
Sebagai satu insiden yang membawa implikasi besar kepada negara, Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengambil inisiatif dengan merekod dan membukukan peristiwa tersebut agar menjadi iktibar kepada rakyat di Malaysia yang berbilang kaum serta pengajaran kepada generasi kini serta masa akan datang.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, buku ’13 May 1969: A Racial Riots In Security Perspective’ hasil nukilan Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Dr Nordin Yusof ini, memaparkan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Menurutnya, buku ini juga merupakan sebuah rekod dan catatan sejarah yang menggambarkan secara terperinci berkaitan atur gerak pasukan keselamatan ketika rusuhan berdarah itu terjadi.
“Peristiwa tersebut merupakan satu titik hitam di dalam lipatan sejarah negara yang telah mencalarkan keharmonian hubungan antara kaum di negara ini,
“Rusuhan yang terjadi jika gagal dikawal mampu memusnahkan kerukunan hidup warga atau mungkin meruntuhkan negara secara keseluruhannya,
“Mujurlah penglibatan aktif pihak berkuasa termasuk TDM berjaya mengawal dan mententeramkan keadaan sehingga kehidupan kembali menjadi normal,” katanya selepas Majlis pelancaran Buku 13 Mei 1969 di Dewan Zulkifli Zain, Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, pada Khamis.
Buku berbahasa Inggeris dengan 324 halaman itu memaparkan kisah sebenar kejadian berkenaan dan penglibatan anggota TDM amnya dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) khasnya dalam operasi selama 21 hari yang diterbitkan Kelab Pegawai RAMD.
Beliau berkata, penulisan buku ini turut menggariskan susur galur konflik perpecahan yang membawa kepada berlakunya insiden 13 Mei itu.
“Turut diperincikan langkah-langkah yang dilaksanakan bagi mengatasi konflik antara kaum ini dari terus berulang lagi di masa hadapan,
“Penulisan yang didokong dengan pelbagai sumber artikel dan bahan bergambar dari koleksi-koleksi muzium, jabatan kerajaan, jurnal, akhbar dan koleksi milik penulis ini sendiri, akan dicetak sebanyak 2,000,
“Sebanyak 1,200 naskah telah dijual kepada agensi kerajaan, perpustakaan negeri dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuk 500 naskah yang telah dibeli oleh TDM,”jelasnya.
Zamrose dalam ucapannya turut berharap agar penerbitan buku ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan akan turut dijadikan sebagai sumber rujukan ilmiah, khususnya dalam konteks untuk memahami latar belakang peristiwa 13 Mei 1969 supaya ia tidak berulang lagi di kemudian hari.
Tegasnya, keamanan dan keharmonian dalam Malaysia adalah sangat tinggi nilainya kepada masyarakat majmuk di negara ini.
“Peristiwa tersebut juga telah menonjolkan kepada dunia bahawa ATM bukanlah sebuah organisasi yang gilakan kuasa, bila mana, setelah keadaan kembali normal, ATM yang menguasai negara pada masa tersebut telah menyerahkan kembali kuasa pentadbiran negara kepada kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat,
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mejar Jeneral Datuk Dr Nordin selaku penulis dan kelab pegawai RAMD di atas kejayaan penghasilan buku ini,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Zamrose menyatakan, pihaknya telah dan akan terus memberi sokongan terhadap usaha penulisan buku berkaitan ketenteraan terutamanya yang menyentuh sejarah kerana pengalaman silam terlalu amat berharga untuk dibiarkan lapuk ditelan peredaran masa.
Turut hadir dalam majlis pelancaran buku tersebut ialah Mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Presiden KP RAMD, Brigedier Jeneral Datuk (B) Ahmad Zaki Mahmud dan kepimpinan TDM.-airtimes.my
Galeri Gambar: