KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pelancaran satelit MEASAT-3d dapat merapatkan jurang digital, seterusnya menarik lebih anak muda untuk menceburi bidang aeroangkasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pelancaran satelit ini juga, keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan di seluruh Semenanjung, Sabah serta Sarawak.
“Hari yang penuh bersejarah, Measat Global Berhad (MEASAT) telah melancarkan satelit MEASAT-3d di Kourou, French Guiana,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri hadir menyaksikan pelancaran MEASAT-3d di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dipancarkan secara langsung dari European Spaceport di Kourou, French Guiana.
Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Manakala, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, Malaysia terus memperkukuh era digital berteraskan teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini dengan pelancaran Satelit MEASAT-3d.
“Pelancaran merupakan pemangkin pelan JENDELA dalam mencapai masyarakat yang terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital,
“Pencapaian ini membolehkan akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi walaupun di kawasan yang terhad atau tiada sambungan darat sama ada untuk tujuan pendidikan, perdagangan serta perhubungan, malah untuk penggunaan baharu seperti teleperubatan,” katanya.
Mengulas lanjut, pelancaran satelit ini membolehkan Keluarga Malaysia memperolehi pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital akses dengan Internet yang stabil dan pantas. – airtimes.my