KUCHING, 18 JAN – Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mula melaksanakan rondaan sulung di Sarawak.
Ia merupakan penugasan pertama yang dipikul oleh OPV1 selepas diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi menyatakan kehadiran OPV1 ini dijangka akan memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di Laut China Selatan.
“Keberadaan Kapal OPV1 ini mampu memenuhi matlamat operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu konsep ‘deterrent’ bagi mengekang pencerobohan kapal-kapal asing,
“Ia akan menjadi kapal induk kepada bot-bot peronda Maritim Malaysia yang akan melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan yang menjadi tumpuan nelayan asing menceroboh masuk ke laut negara bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan,” kata Ruji dipetik dalam satu hantaran oleh Maritim Malaysia.
Beliau menambah, OPV1 akan mengekang risiko syarikat carigali dan petroleum menjadi sasaran kes rompakan di laut.
“Kapal ini mampu untuk beroperasi di laut selama 21 hari tanpa ulang bekal,” ujar beliau.
OPV1 merupakan antara 3 kapal peronda luar pesisir sepanjang 83 meter yang diperolehi untuk Maritim Malaysia.
Umum mengetahui, program OPV mengalami kelewatan dan beberapa kali penangguhan semenjak program pembinaan ini bemula pada tahun 2017.
Mengenai OPV2 dan OPV3, Ketua Setiausaha KDN menyatakan ianya akan dibawa ke peringkat Kabinet.
OPV Kelas Tun Fatimah ini berdasarkan rekaan Damen 1800. Pembinaan kapal ini dilaksanakan oleh THHE-Destini dengan bantuan syarikat Belanda, Damen.
Kapal ii dilengkapi dengan sistem persenjataan utama 30mm Aselsan SMASH RWS dari Turkiye.
Pada ketika ini, OPV1 masih lagi belum diberikan nama khusus secara rasmi walaupun telah diketahui umum ianya akan dinamakan sebagai KM TUN FATIMAH. Majlis Penamaan OPV1 dijangka akan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam masa terdekat. – airtimes.my
#AirTimes #MaritimMalaysia #OPV1 #TunFatimah #Sarawak #LautChinaSelatan