KUALA LUMPUR, 7 Okt – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Selangor dan Sabah.
PKPB akan berkuatkuasa mulai tengah malam 9 Oktober di Klang, Selangor serta Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah.
Menurut Menteri, keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan peningkatan kes COVID-19 di kawasan terbabit.
“Pelaksanaan PKPB dilakukan untuk membendung penularan COVID-19 dan membolehkan aktiviti pengesanan aktif dilakukan,” katanya semasa Sidang Media Khas PKPP yang disiarkan secara langsung dari rumahnya.
Beliau menegaskan, tiada sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan terbabit.
“Hanya Perkhidmatan Perlu (Essential Service) termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan,” jelasnya.
Antara prosedur PKPB ialah menghadkan waktu operasi stesen minyak dan pasar, rumah ibadat ditutup, serta tiada sebarang aktiviti sosial dibenarkan.
Isnin lalu, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan telah dikenakan perintah PKPB. -airtimes.my