BANGKOK, 16 Jul – Semua 12 remaja pasukan bola sepak yang berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam sebuah gua di utara Thailand meratapi kematian bekas penyelam tentera laut Seal yang terkorban dalam operasi itu.
British Broadcast Corporation (BBC) melaporkan, penyelam sukarelawan, Saman Gunan meninggal dunia pada 6 Julai lalu ketika memasang tangki oksigen di dalam gua yang dipenuhi air.
Sejak hari itu, dunia menganggapnya sebagai wira.
Semua remaja dan juru latih mereka yang berusia 25 tahun dimaklumkan berhubung pengorbanan mendiang pada Sabtu lalu, ketika doktor berpandangan mereka sudah bersedia untuk menerima berita itu.
“Semua mereka menangis dan mengucapkan takziah dengan menulis mesej di atas lukisan wajah Leftenan Komander Saman dan bertafakur selama seminit untuk mendiang,” kata setiausaha tetap kementerian kesihatan, Jedsada Chokdamrongsuk.
Gambar menunjukkan pasukan bola sepak ‘Wild Boars’ yang masih dipantau di hospital, berhimpun mengelilingi gambar mendiang Saman.
“Mereka turut mengucapkan terima kasih dan berjanji untuk menjadi remaja yang baik,” kata kementerian kesihatan. – BBC