PUTRAJAYA, 18 Apr – Seorang kerani wanita yang ditahan di penjara atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, hari ini dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Sam Ke Ting, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah hari ini juga membenarkan permohonan Sam yang memakai baju kurung biru itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.
Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan. – Bernama