KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menegaskan pembangkang bersedia untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang dibentengkan hari ini dengan syarat menaikkan RM45 bilion lagi.
Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata ini kerana RM45 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan sekarang tidak mencukupi untuk membantu orang ramai dan perniagaan yang sedang berdepan kesukaran akibat wabak pandemik itu.
“Tuan Yang Dipertua, dari segi kadar pengangguran sungguhpun telah turun kepada 4.9 peratus, kita harus mengambil kira bahawa apabila moratorium dan skim PENJANA akan berakhir…yang bimbang kadar penggangguran akan naik,
“Sekiranya boleh naikkan RM45 bilion, kita akan ketepikan kepentingan politik, bahawa pihak pembangkang sedia untuk sokong RUU ini dengan 100 peratus dengan syarat ia mesti naik RM45 bilion lagi,
“RM45 bilion lagi, kalau boleh naik RM45 bilion tak da berbelah bahagi kita sokong, berbelah bahagi kita sokong boleh,
“Marilah kita cipta sejarah…kerana kita mahu selamatkan ekonomi negara. Kita lihat dari segi penurunan pertumbuhan ekonomi serius tak pernah teruk seperti sekarang,” katanya semasa membahaskan RUU peruntukan COVID-19 hari ini.
Jelasnya, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga tahun hadapan untuk memulihkan ekonomi.
“Bahayanya kalau kita tunggu sampai tahun depan, kita tidak tahu berapa banyak yang telah pun hilang pekerjaan, beberapa banyak peniagaan gulung tikar..beberapa mayat yang mungkin tidak boleh hidup lagi masa itu..ia sudah terlewat,” katanya.
Tambah Guan Eng, dengan menggandakan jumlahnya menjadi RM90 bilion bukan jumlah yang besar dan mampu ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.
“Pihak pembangkang sedia sokong RUU ini, tanpa RM45 bilion lagi kami rasa ia tidak mencukupi, ia seperti mencurahkan air di daun keladi, kerana ia tidak cukup untuk menangani masalah pengucupan ekonomi..sekali lagi tambah RM45 bilion untuk selamatkan rakyat Malaysia,” katanya Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata RUU itu bertujuan mewujudkan peruntukan bagi langkah-langkah sementara berkaitan pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan COVID-19.
Menurutnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan undang-undang yang diperkenalkan kelak adalah selaras dengan amalan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata dalam menggubal RUU itu kerajaan memastikan program dan projek yang dikenal pasti dalam pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi yang diumumkan sebelum ini memberi impak langsung kepada rakyat serta ekonomi dalam jangka segera dan sederhana. – airtimes.my