KUALA LUMPUR, 5 Nov – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden rusuhan dan kekecohan di Tenom hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mengutuk sebarang kekerasan dan kekacauan dalam apa juga bentuk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terutama penyokong mana-mana parti agar tidak emosi dan kekal tenang bagi memastikan kelancaran pilihan raya pada kali ini.
Kejadian difahamkan berlaku ekoran penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) berang apabila borang pencalonan Datuk Peter Anthony dari parti itu, ditolak Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) yang bertugas.
Insiden rusuhan yang berlaku menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan penyokong parti KDM yang menimbulkan kekecohan di pekarangan Dewan DSP Antanom. -airtimes.my