PUTRAJAYA, 27 OKT – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memberi fokus berkaitan pembangunan aset serta perumahan demi menjaga kebajikan warganya.
MINDEF dalam kenyataan memaklumkan, pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) ATM ini merupakan inisiatif kementerian bagi memberi peluang kepada anggota ATM, warga veteran ATM dan warga kerja awam untuk memiliki rumah yang selesa di Kuala Lumpur di bawah harga pasaran.
Menurut MINDEF, perumahan SASaR Wardieburn menawarkan 974 unit rumah yang berkeluasan 1,400 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi serta menyediakan kemudahan melebihi apa yang digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).
“Perumahan SASaR ini menyediakan gimnasium, kolam renang dan 2 lot parkir bagi setiap rumah,
“Manakala SASaR Genting Klang pula menawarkan 6,400 unit rumah yang berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi serta mempunyai kemudahan asas yang setara dalam DRMM sebagaimana pembangunan perumahan mampu milik yang lain,” jelas kenyataan itu.
Jelasnya, pembangunan aset ATM dan pembangunan perumahan ini adalah selari dengan matlamat Kerajaan untuk menjaga kebajikan warga kerja Pertahanan bertunjangkan Konsep Malaysia Madani yang mana bakal memberi faedah bukan sahaja kepada warga tentera tetapi turut meliputi ahli keluarga dan masyarakat sekitar kem.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyaksikan Majlis Menandatangan Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Unit Army Red Warrior (ARW) serta Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12 KPTD) termasuk Pembangunan SASaR di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.
Perjanjian ini melibatkan perpindahan dan pembangunan semula aset ATM iaitu Pusat Latihan bagi Kor Polis Tentera Diraja, PULAPOT, Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemudahan – kemudahan yang berkaitan yang pada asalnya berada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur serta Pembinaan Perumahan Program SASaR ATM yang telah diluluskan Jemaah Menteri.
Pada Julai lalu, Menteri Pertahanan memaklumkan, tanah seluas 24 hektar di Mukim Si Rusa, Port Dickson akan dibangunkan menjadi kem, RKAT dan pusat latihan baru bagi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dengan menelan kos sebanyak RM232.9 juta.
Mohamad berkata, projek ini mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk siap yang melibatkan rumah keluarga 5 tingkat dan 1 tingkat untuk kem.
Ia akan turut dilengkapi dengan Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, Dewan Serbaguna, Kemudahan Bilik Latihan, Kemudahan Bilik Penginapan, Padang Kawad, Sirkit Menempuh Halangan, lapang sasar pistol dan lain – lain lagi kemudahan yang akan memberi manfaat kepada PULAPOT serta ARW. -airtimes.my
#ATM #SASAR #MINDEFMalaysia #kebajikan #pertahanan