PUTRAJAYA, 31 Ogos – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa semua rakyat Malaysia wajib menghormati undang-undang tanpa mengira kedudukan dan darjat.
“Keadilan di negara ini adalah terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati serta dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat,” titah baginda semasa menyampaikan Titah Diraja bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Dataran Pahlawan.
Titah baginda juga turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara oleh media tempatan.
Dalam titah yang sama, baginda turut mengingatkan semua perkara dan hak keistimewaan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati serta dipertahankan.
Terdahulu, baginda menitahkan kepada semua Malaysia untuk menghayati serta mengamalkan prinsip Rukun Negara.
“5 prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan tersebut, seterusnya hidup secara rukun serta damai,
“Rukun Negara juga menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara,
“Prinsip-prinsip dan teras yang terkandung dalam Rukun Negara bersifat sejagat dengan merentasi nilai-nilai murni semua bangsa, agama serta berupaya menjadi panduan hidup sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka,
“Oleh yang demikian, prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” titah Seri Paduka.
Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk berangkat ke Dataran Pahlawan Negara, pada jam 8 pagi tadi bersempena Sambutan Hari Kebangsaan.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada tahun ini adalah unik kerana ianya disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat ancaman wabak COVID-19.
Selain itu, sambutan kali ini juga merupakan yang kedua melibatkan Titah Diraja. – airtimes.my