BUTTERWORTH, 11 Nov – Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) dan Royal Australian Air Force Security Force (RAAF SF) serta RAAF Air Field Defence Guard telah melaksanakan Latihan Tactical Combat Casualty Care (TC3), semalam.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, latihan itu dilaksanakan bersempena Exercise ELANGAROO 2022 dan Field Training Exercise PARADISE 9/22 (ELANGAROO 22/FTX PARADISE 9/22) yang sedang berlangsung ketika ini.
Menurut TUDM, latihan ini melibatkan Subject Matter Expert (SME) dari Institut Perubatan Penerbangan, Pangkalan Udara Subang serta Pegawai Perubatan dan Staf Paramedik dari 816 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pangkalan Udara Butterworth.
“Latihan TC3 ini merangkumi konsep teori dan praktikal melibatkan 3 fasa iaitu Rawatan Semasa Pertempuran, Rawatan Medan Taktikal dan Rawatan Evakuasi Taktikal,
“Objektif latihan ini adalah untuk melatih pegawai dan anggota HANDAU bertindak sebagai First Responder dalam menghadapi sebarang kecederaan disebabkan oleh sebarang ancaman ketika melaksanakan Tugas Pertahanan Darat dan keselamatan fizikal dalam mendukung Operasi Pertahanan Pangkalan,” jelas hantaran itu.
TUDM turut menambah, pelaksanaan latihan ini juga menjadi ilmu asas kepada setiap pegawai dan anggota HANDAU dalam melaksanakan kaedah awal pertolongan cemas (First Aid) kepada mangsa yang mengalami kecederaan di medan pertempuran sebelum bantuan perubatan tiba di lokasi kejadian. -airtimes.my