BANGKOK, 26 SEPT – Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) telah menerima 2 bot peronda pesisir baharu dari syarikat pertahanan negara itu.
Menurut syarikat, Marsun Public Company Limited, pihaknya telah menyerahkan bot T.997 dan T.998 kepada RTN di Chonburi.
Majlis penyerahan bot telah dilaksanakan pada 20 September 2023.
“Kontrak pembinaan kedua-dua bot ini telah dimeterai pada 26 Julai 2019 dan peletakan lunas kapal (keel laying) dilakukan pada 14 November,” katanya.
Menurut kenyataan itu, T.997 dan T.998 mempunyai panjang 41.45 meter dan lebar 7.2 meter.
“Kedua-dua bot ini mampu berlayar pada kelajuan maksimum 28 knot dengan menggunakan enjin MAN serta propeller WARTSILA,
“Ia juga mampu untuk menampung 33 orang kru dan mampu beroperasi di laut selama 7 hari tanpa melakukan sebarang penyelenggaraan,” kata kenyataan itu.
Pihak Marsun menjelaskan, pembinaan kapal terbabit merupakan kepercayaan RTN bagi membangunkan industri pertahanan Thailand.
Jelasnya, bot ini direka untuk misi rondaan, menggempur aktiviti jenayah sempadan, melindungi nelayan dan sumber asli Thailand. – airtimes.my