SANDAKAN, 12 Feb – Rondaan bersama dan pertemuan dengan Tentera Laut Filipina (TLP) menerusi inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP) akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan berkata inisiatif TMP perlu diteruskan terutamanya selepas beberapa insiden penculikan dan cubaan rompakan yang berlaku di perairan pantai timur Sabah baru-baru ini.
Di samping dapat mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, inisiatif rondaan TMP dilihat dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara yang terlibat dalam menguruskan isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu serta Laut Sulawesi.
Pada Isnin lalu, KD Yu milik TLDM telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP EMILIO JACINTO (PS 35) untuk menjayakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi siri 3/20.
“Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina ini telah dilaksanakan di sekitar garis sempadan maritim Malaysia-Filipina.
“Kedua-dua buah kapal tersebut sedang melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM),” katanya.
Dalam program kali ini, KD YU yang diperintah Lt Kdr Hasanal Azwad Rusli TLDM telah bertemu dengan BRP EMILIO JACINTO yang diperintah oleh Kdr Aldrin A Gacusan PN.
“Kedua-dua Tim Pemerintah kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan khususnya dalam mengenal pasti kawasan tumpuan (hot spot) serta perancangan latihan dilaksanakan,
Selain daripada itu, kedua-dua kru kapal turut mengadakan aktiviti Manuver Taktis (MANTAK), Kibaran Bendera (Semaphore), Publication Exercise (PUBEX) dan Replenishment at Sea Approach (RASAP).
Menurut TLDM, kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.