PADANG TERAP, 21 Feb 23 – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menggagalkan satu aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran dalam operasi yang dilaksanakan di sempadan Malaysia-Thailand, Ahad lalu.
Markas Kedua Infantri Malaysia memaklumkan, bertindak atas maklumat perisikan yang diperolehi, pasukan telah mengesan sebuah kenderaan Pajero berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan di Ladang Seraya Durian Burung.
Kemudian, pasukan beroperasi seterusnya bertindak menahan kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut merupakan seorang warga tempatan yang cuba menyeludup barangan ke negara Thailand,
“Turut dirampas adalah 83 beg plastik yang berisi daun ketum seberat 830kg, sebuah Pajero berwarna kelabu nombor pendaftaran WDL 7659, sebuah motosikal Honda Wave nombor pendaftaran KCL1236, sebuah telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM77,162.00,” jelas Markas 2 Div dalam kenyataan pada Isnin.
Seterusnya, semua barang rampasan dan individu yang ditahan telah diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Padang Terap, untuk tindakan selanjutnya.
Dalam masa yang sama, pihak Markas 2 Div menjelaskan, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.-airtimes.my