[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=yEADYmHJCgs[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 18 Dis – Cita-citanya hanya ingin menjadi seorang pegawai tentera dan impiannya kini telah tercapai. Lebih manis lagi apabila beliau berjaya memecahkan tradisi sebagai pegawai kanan wanita pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinaikkan pangkat ke Laksamana Pertama, hari ini.
Laksamana Pertama Rohana Jupri telah membuktikan kemampuan dan kredibiliti wanita TLDM tidak boleh diragui lagi. Sekali gus ianya juga menjadi detik bersejarah apabila diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab yang lebih berat.
Dengan pengalaman lebih 36 tahun dalam perkhidmatan, Rohana, 57, berkata kenaikkan pangkat ini disifatkan sebagai satu penghargaan pihak tertinggi TLDM dalam sejarah 86 tahun penubuhannya tahun ini.
“Di dalam TLDM, peranan wanita memang dipandang oleh pengurusan tertinggi dan saya yakin pegawai wanita TLDM dapat melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang,
“Pegawai wanita TLDM juga ada yang bertugas sebagai Pegawai Memerintah. 5 orang dan 2 daripadanya adalah berkepakaran pegawai navigasi serta pegawai peperangan utama. Selain itu, kita juga ada anggota lain-lain pangkat (LLP) wanita yang memegang pangkat tertinggi iaitu sebagai juragan,
“Ini membuktikan bahawa pegawai wanita dan anggota wanita TLDM mempunyai tempat dan setanding dengan lelaki di dalam perkhidmatan TLDM,” katanya kepada media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM, di KD Sri Gombak.
Rohana menambah, di setiap organisasi mempunyai kekangan dan cabaran mereka tersendiri, termasuklah dirinya yang menganggap setiap cabaran itu sebagai pembakar semangat dirinya untuk bersaing di dalam dunia yang dipelopori golongan lelaki.
“Cabaran tetap ada, walau bagaimanapun saya yakin seperti saya sendiri saya anggap diri saya memang boleh bersaing dengan mereka,
“Dengan kesungguhan dan juga pengalaman, ilmu yang ada kita gunakan sepenuhnya supaya kita dipandang setanding dengan pihak lelaki,
Majlis pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Mohd Reza berkata, pemakaian pangkat Laksamana Pertama kepada Rohana telah meletakkan beliau berdiri sama tinggi bersama barisan tertinggi TLDM dalam kumpulan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang sebelum ini dipelopori golongan lelaki.
Tambahnya, kenaikan pangkat ini juga sekaligus memberi tanggungjawab kepada Rohana untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan cemerlang.
“Beliau telah memegang pelbagai jawatan yang tertentu dalam TLDM. Sewaktu beliau memegang jawatan tersebut, beliau telah melaksanakan tugas dengan baik dan pengurusan tertinggi merasakan beliau sesuai dan layak untuk dinaikkan pangkat Laksamana Pertama,
“Saya yakin kenaikan pangkat ini akan menjadi sumber inspirasi dan pembuka jalan kepada golongan wanita TLDM untuk terus cemerlang demi perkhidmatan TLDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia secara amnya. Saya percaya ada ramai lagi golongan wanita yang akan mengikut jejak langkah beliau,” jelasnya.
Terdahulu pada majlis sama, turut menyaksikan beberapa pegawai kanan TLDM yang lain telah dinaikkan pangkat iaitu Laksamana Pertama Datuk Pahlawan Affendy Suhaimi, yang dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Muda dan sekaligus memegang jawatan Asisten Ketua Staf (AKS) Material.
Manakala 2 pegawai iaitu Komander Mohamad Zulkefli Mohamood dinaikkan ke pangkat Kepten TLDM, kini memegang jawatan sebagai Pegawai Staf Pengangkutan, Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Leftenan Komander Mohd. Syahrum Kamarludin dinaikkan ke pangkat Komander TLDM.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob. –airtimes.my