KUALA LUMPUR, 27 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembinaan pangkalan operasi berkala (bare base) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baharu di Bintulu, Sarawak.
Menurut beliau, pembinaan bare base tersebut merupakan antara projek yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Antara projek dilaksanakan termasuklah Marine Police Sea Monitoring System di 5 wilayah maritim; pembinaan bare base TUDM di Bintulu; pembinaan Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak dan peningkatan keupayaan aset maritim,” kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut menyatakan kem tentera di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran akan siap dibina dalam tempoh 2021-2025.
Kesemua projek tersebut dilaksanakan di bawah fokus “Memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam”.
“Keselamatan dan kedaulatan negara merupakan perkara asas bagi memastikan keamanan serta kestabilan Malaysia,” ujarnya.
Perdana Menteri menjelaskan beberapa inisiatif akan dilaksanakan antaranya meningkatkan ketenteraman awam, mengukuhkan pertahanan siber, dan menjaga kebajikan anggota tentera serta penguatkuasa.
“Ini termasuklah mengambil langkah untuk menambah baik kesiapsiagaan dan penguatkuasaan kawalan sempadan,
“Saya pastikan langkah yang lebih tegas akan diambil untuk melaksanakan pelan menyeluruh dan memperkukuhkan Ops Benteng bagi menghalang kemasukan PATI,” tegas Ismail Sabri.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan 10,200 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta Kuarters dibina dan boleh diduduki dalam RMKe-12.
“Ini bagi memastikan kebajikan anggota tentera dan penguatkuasa terbela,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri menyatakan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
“Ini bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkenaan pertahanan dan keselamatan,” jelasnya. – airtimes.my