KUALA LUMPUR, 10 Mac – Srikandi Bersatu perlu bekerja lebih keras dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) mampu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata selain itu, ahli dituntut untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan.
“Terima kasih kepada Srikandi yang masih setia bersama parti sepanjang berlaku kemelut politik. Srikandi akan terus berdiri gagah dan pastikan Bersatu terus relevan selamanya,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Srikandi di Kuala Lumpur hari ini.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022, yang bermula hari ini dengan Perhimpunan Agung Srikandi, menyaksikan buat pertama kali tiada perasmian serentak bagi sayap itu dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Ia susulan terdapat pindaan terhadap perjalanan perhimpunan tiga hari itu berikutan perkembangan semasa membabitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perhimpunan Armada pula akan berlangsung esok.
Selain itu, ucapan dasar presiden sekali gus merasmikan perhimpunan agung parti yang dijadual berlangsung pada 8 malam esok, ditiadakan dan digantikan dengan perhimpunan serta ceramah umum di Pusat Tarbiyah PAS Pusat di Gombak, Selangor.- Bernama