IPOH, 7 Okt – Lima disahkan rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 255.3 ALebuhraya Utara-Selatan menghala utara selepas Terowong Menora, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11.47 pagi semalam, lima yang rentung adalah mangsa dalam kereta itu, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Ahmad Adnan Basri.
Beliau berkata siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan bijih besi itu hilang kawalan dan memasuki lorong kanan sebelum menghimpit serta menggesel beberapa buah kenderaan lain.
“Sebuah kereta terhimpit antara penghadang jalan simen di sebelah kanan dengan badan treler sebelum terbakar.
“Mangsa yang berada dalam kereta rentung kerana tidak dapat keluar akibat tersepit manakala pemandu treler tidak cedera,” katanya dan menurutnya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Muhammad Shaznil Abd Thoher berkata seorang daripada mangsa yang rentung dipercayai bayi selain empat mangsa dewasa.
“Ketika operasi pemadaman dijalankan kita lihat pemandu dan penumpang hadapan sudah rentung.
Apabila kerja-kerja pemadaman api selesai dan pemeriksaan dijalankan dua mangsa dewasa rentung ditemui di tempat duduk penumpang belakang manakala bayi itu dijumpa tertindih oleh seorang daripada mangsa itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Beliau berkata bomba mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran berikutan keadaan muatan dan bahagian treler terbakar sepenuhnya.
“Anggota mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengeluarkan kesemua mayat dari dalam kereta,” katanya
Katanya, 16 anggota bomba termasuk seorang pegawai serta lima jentera dari Balai Bomba Kuala Kangsar dan Meru Raya terlibat dalam operasi itu. – BERNAMA