KUALA LUMPUR, 9 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan Lembah Klang akan beralih ke fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Jumaat ini.
Beliau berkata, keputusan peralihan yang membabitkan kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, pada Rabu.
Menurutnya, antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri yang memasuki fasa 2 sebelum ini, seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Justeru, Ismail Sabri menjelaskan, rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin, manakala pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin juga dibenarkan untuk merentas negeri.
“Ibu bapa yang mendapat perlindungan lengkap dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia bawah 18 tahun,
“Dine-in atau makan di kedai dibenarkan di premis untuk pelanggan yang lengkap dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama membabitkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ (inap desa bagi individu yang lengkap dos vaksin,
“Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama. Maka, pergerakan antara negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya,”katanya dalam kenyataan, semalam.
Pada masa yang sama, beliau berkata, jawatankuasa turut bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri yang berada di bawah Fasa 1 PPN.
“Antara ketetapan yang diputuskan jawatankuasa ialah membenarkan aktiviti sukan ‘indoor’ (kawasan tertutup), kecuali gimnasium kepada individu yang lengkap 2 dos vaksin,
“Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang lengkap divaksin,
“Penggunaan fasiliti ini perlu dilakukan secara janji temu disamping pematuhan SOP,
“Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta MKN dan akan berkuatkuasa Jumaat ini,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh kelonggaran lain, Ismail Sabri berkata, sektor perdagangan dan pengedaran, perniagaan kedai bunga, kedai peralatan aktiviti luar (outdoor) dan galeri perumahan akan mula dibenarkan beroperasi mulai Jumaat ini bagi negeri fasa 1 PPN.
“Manakala, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, pendandan rambut dan salon kecantikan dibenarkan untuk negeri yang dikategorikan dalam Fasa 2 dan 3 PPN.
“Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan. Amalkan kawalan kendiri serta gaya hidup sihat,” tambahnya. -airtimes.my