KUALA LUMPUR, 3 NOV – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya akan disertai remaja yang lahir pada 2007, sekiranya ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjelaskan, kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baru selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0,
“Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang hanya lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut,” jelas MINDEF dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, jika pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.
“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun,” jelasnya lagi.
MINDEF turut berharap penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN3.0.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kertas kerja PLKN 3.0 dengan menggunakan templat yang baharu ini akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan kelulusan.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan semula PLKN 3.0 adalah satu kemestian bagi membina jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi akan datang.
Menurutnya, fasa 1 program tersebut akan bermula dengan penglibatan pelajar-pelajar tingkatan 4 dalam badan beruniform sekolah.
Manakala bagi fasa ke 2 PLKN akan dijalankan di kem-kem tentera dengan melihat bilangan kem Rejimen Askar Wataniah di seluruh negara yang boleh menampung keperluan tersebut. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #PLKN #Malaysia