KUALA LUMPUR, 28 Feb – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden dan sebarang jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan kali ini.
Namun, Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, beliau akan tetap mempertahankan jawatan yang disandang sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera.
Beliau menjelaskan, penarikan diri itu adalah bagi mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalam UMNO pada hari ini.
“Saya tetap dengan pendirian bahawa semua jawatan dalam parti perlu dipertandingkan selaras dengan perlembagaan dan idealism UMNO,
“Tindakan menyekat pemilihan jawatan tertinggi dalam parti memperlihatkan UMNO sebagai tidak demokratik dan menjauhkan parti daripada sokongan rakyat khususnya golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, UMNO ketika ini perlu menjadi parti yang kekal releven dan sentiasa memikirkan sesuatu yang baharu dalam menarik kembali sokongan masyarakat kepada parti keramat itu semula.
“Dalam usaha menjadikan UMNO sebagai parti yang terus relevan, parti keramat ini memerlukan idea-idea baharu yang progresif untuk menarik kembali sokongan rakyat demi agama, bangsa dan tanah air,” jelasnya lagi.
Sementara itu, berhubung dengan laporan sebuah akhbar arus perdana yang menyatakan bahawa beliau akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera, Ismail Sabri mengangap ia sebagai spekulasi ‘nakal’ dan tidak benar.
“Setiausaha UMNO Bahagian Bera telah memaklumkan bahawa saya adalah calon tunggal untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera,
“Tiada pencalonan lain untuk jawatan tersebut diterima sehingga tamat tempoh pencalonan yang ditetapkan pada pukul 5 petang 26 Februari lalu,” ujarnya.
Tambahnya, ketika ini beliau masih menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO berhubung pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera. -airtimes.my