PADANG TERAP, 20 Jun – Markas 6 Briged melalui Pasukan Rejimen Sempadan 4 (4 RS) merampas 95 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM8,850 dipercayai cuba diseludup ke Thailand dekat Pos Batu 34 di sini, semalam.
Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abd. Aziz Ismail berkata, daun ketum tersebut yang dimuatkan dalam guni dan plastik hitam itu dijumpai pasukan tersebut diketuai Sarjan Fred Wong bersama tiga anggota tentera ketika melakukan rondaan kira-kira pukul 12.45 petang.
“Semasa pemeriksaan dibuat, anggota tersebut mendapati terdapat daun ketum yang sudah siap diikat dan dibalut dengan plastik lutsinar seberat 95kg dalam bungkusan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan penyeludup adalah dengan menyembunyikan bungkusan mengandungi daun ketum dalam semak.
“Bungkusan yang disembunyikan tersebut akan diambil oleh pihak ketiga sebelum diseludup masuk ke negara jiran,” jelasnya.
Abdul Aziz menambah, tiada tangkapan dilakukan dan barangan rampasan berkenaan diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.