[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Jrl-JftfbX4[/embedyt]
MELAKA, 24 Mac – Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman hari ini menegaskan Malaysia tidak terlepas dari ancaman pengganas dan senjata kimia.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan penutup Eksesais Mantis Siri 8/2022 di Kem Terendak Melaka, hari ini.
“Konsep peperangan masa kini tidak hanya melibatkan peperangan konvesional malah ancaman pengganas dan penggunaan agen kimia, biologi, radiasi, nuklear dan explosive (CBRNe) sebagai senjata semakin meluas,
“Malaysia juga tidak terkecuali dari ancaman ini. Persediaan Tentera Darat Malaysia menghadapi ancaman yang bahaya ini memerlukan latihan yang khusus dan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi,” katanya.
Menurut beliau, latihan bersama Kanada melalui Eks Mantis merupakan medium terbaik untuk menguji keupayaan anggota dalam menangani ancaman pengganas yang menggunakan agen CBRNe.
Pada masa yang sama, Timbalan Panglima Tentera Darat menyatakan eksesais ini merupakan peluang yang baik untuk anggota Tentera Darat Malaysia untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran serta menggunakan peralatan terkini dari negara yang lebih berpengalaman.
“Pelaksanaan eksesais bilateral ini juga diharap dapat diteruskan pada masa akan datang,
“Ini memastikan anggota Tentera Darat Malaysia dapat dilatih dalam pelbagai senario,
“Latihan yang berterusan akan dapat meningkatkan pembangunan keupayaan dan standard kesiapsiagaan yang tepat untuk kejayaan misi pengoperasian membanteras insiden pencemaran agen CBRNe,” ujar beliau.
Eksesais Mantis merupakan latihan bilateral tahunan antara Tentera Darat Malaysia dan Angkatan Tentera Kanada. Latihan selama 8 minggu ini berkonsepkan operasi melawan keganasan dalam situasi ancaman CBRNe.
Latihan ini melibatkan 21 Grup Gerak Khas (GGK), 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Canadian Special Operation Force Command (CANSOFCOM).
Menurut Tentera Darat Malaysia, latihan lapangan Eks Mantis telah dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Pelabuhan Kuala Linggi, Lapangan Terbang Batu Berendam dan Stesen MRT Cochrane Kuala Lumpur.
“Setiap lokasi tersebut telah diberikan senario yang berbeza mengikut situasi ancaman CBRNe,” katanya dalam satu kenyataan. – airtimes.my