MARANG, 29 Nov – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) dengan membina sebuah rumah salah seorang penduduk di Kampung Rhu Muda, Marang.
Markas Briged Ke-8 Infantri Malysia (8 Bgd) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pembinaan rumah baharu bagi Norhayati Alias ini adalah melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di kampung tersebut.
“Kerja-kerja pembinaan telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 45 hari bermula pada 3 Mac dan siap sepenuhnya pada 12 Mei lalu,” jelasnya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ahad.
Turut hadir, Panglima 8 Bgd, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee; Timbalan Komander Rejimen 512 Askar Wataniah (Rej 512 AW) Leftenan Kolonel Shaharul Othman dan Pegawai Pemerintah 7 Skuadran Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD) iaitu Mejar Nazarul Aswad Ismail.
“Program PJM ini adalah kerjasama dari pasukan di bawah naungan 8 Bgd iaitu melibatkan bantuan kepakaran dari 7 Skn RAJD dan Rejimen 512 Askar Wataniah sempena Hari Tentera Darat ke-88,
“Program ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera dan Awam dimana dengan terlaksananya PJM, ia dapat membentuk hubungan kerjasama di antara anggota tentera dengan awam sekaligus memberi peluang kepada pihak tentera untuk menyumbang bakti terhadap masyarakat,” tambahnya. -airtimes.my