[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=1tAsrrnoqjM[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 22 Jul – Walaupun sudah dimamah usia, seorang ayah sanggup berlari sehingga tertanggal selipar untuk membantu anaknya rebah semasa perbarisan sambutan Jubli Emas ke-50 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang, semalam.
Susuk tubuh tua yang berlari masuk ke padang kawad yang mengangkat dan memeluk anggota penguatkuasa KPDNHEP itu merupakan bapa saudara kepada anggota penguatkuasa Nik Mohammad Adhar Nik Ismail.
Kejadian tersebut dikongsikan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nata Linggi menerusi laman sosialnya semalam.
“Kasihnya ayah, berkorban nyawa, biarlah jiwa, akan tersiksa, ikhlas dan rela, asalkan bahagia,
“Banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar ini. Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu,
“Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata,” luah Alexandar.
Menurut Alexandar, yang hadir di padang kawad tersebut menjadi saksi betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya.
“Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan sedemikian meleset,
“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah,
“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” ujarnya.
Alexandar turut menasihatkan kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan.
Anggota yang rebah itu adalah, Nik Mohammad Adhar Nik Ismail berkata, yang membantunya itu adalah bapa saudaranya Abdul Aziz Ya’acob.
Beliau berkata, bapa saudaranya yang dipanggil abah itu yang bekerja sebagai pemandu teksi dianggap sebagai bapa kandungnya.
Mohammad Adhar merupakan anak yatim piatu setelah kematian ibu bapa serta telah dijaga oleh Abdul Aziz dan ibu saudaranya, Rosmawati Ismail yang dipanggil emak sejak usia 3 bulan lagi.
Jelas Mohammad Adhar, walaupun beliau anak saudara, abah (Abdul Aziz) tidak pernah membezakan beliau dengan 6 anaknya yang lain. – airtimes.my