GERIK, 28 Apr – Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria masing-masing RM1,000 kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) 2 minggu lalu.
Azmi yang juga ahli Parlimen Bagan Serai serta Razman yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak tiba serentak pada 9.20 pagi tadi.
Kedua-duanya dan beberapa individu lain didakwa melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Pada 18 April lalu, gambar Azmi, Razman dan beberapa individu menghadiri satu jamuan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong tersebar di media sosial.
Kawalan di sekitar mahkamah diperketatkan dengan kehadiran polis, selain media yang mula tiba seawal 7 pagi tadi bagi membuat liputan prosiding kes itu.-Bernama