[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=IEhAy7z42HE[/embedyt]
ULU DONG, 6 Jan – “Kerja tentera ini pantas, macam berperang tembak-tembak terus menang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.
Beliau menegaskan, bahawa atur gerak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberi akan dilaksanakan dengan pantas dan sebaiknya.
Menurutnya, jambatan sementara yang dibina oleh anggota tentera dalam masa yang singkat ini dapat menghubungkan hampir 1,500 penduduk Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong serta bandar Raub.
Pada 7 Januari 2021, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (Rej Bantuan RAJD) telah melaksanakan pembinaan Jambatan Bailey Compact 200 selepas jambatan asal musnah akibat arus deras banjir.
“Banjir pada awal tahun 2021 telah menyebabkan jambatan sedia ada runtuh, pihak kami membuat rayuan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat,
“Mereka telah mengambil tindakan yang pantas dengan mengerahkan pasukan tentera untuk memasang Jambatan Bailey dan siap ianya dalam masa 4 hari,
“Banjir pada akhir tahun lalu menyebabkan jambatan ini tidak dapat digunakan kerana hakisan tanah di tebing sungai,
“Anggota tentera sekali lagi datang bagi membaik pulih jambatan ini,” jelasnya semasa ditemui ketika meninjau pembaikan jambatan di Kampung Lechar, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan persekutuan serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk atur gerak anggota tentera bagi membantu Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sementara itu, mengulas mengenai bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, beliau meluahkan rasa bersyukur kerana segala bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan pantas termasuk bantuan dari kerajaan persekutuan.
“Dalam banjir terbaru pada akhir tahun 2021 dan awal tahun 2022, saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan negeri dan pentadbiran Daerah Raub,
“Kesemua agensi bertindak dengan pantas dalam misi menyelamatkan mangsa dan mengatur bantuan termasuk dari kerajaan pusat dan negeri kepada mereka yang terjejas,” tambahnya. -airtimes.my