KUALA LUMPUR, 11 Mei – Pekhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di 6 stesen laluan Ampang/Sri Petaling, melibatkan stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur, akan dibuka semula kepada pengguna bermula 6 pagi esok.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan, stesen terbabit dibuka semula selepas fasa pertama kerja pembaikan sementara struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya selesai dijalankan.
Menurut Rapid Rail, tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke Depoh LRT di Ampang dan tren-tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini.
“Serentak dengan pembukaan stesen-stesen tersebut, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 akan ditamatkan,
“Malah, kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pertengahan Oktober ini dan seterusnya operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal,
“Jangkaan ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa terbabit,” katana lagi.
Sebelum ini, operasi perkhidmatan LRT di enam stesen itu telah dihentikan sejak 2 April lepas, susulan tren-tren yang beroperasi tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
Faktor kegagalan disebabkan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya, yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Jan lepas.
Mengulas lanjut, Rapid Rail juga akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan bagi melancarkan perjalanan penumpang.
“Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 buah bas dengan kekerapan setiap 10 minit,
“Pengguna juga mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif seperti Monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya sekiranya ingin menuju ke Hang Tuah atau Chan Sow Lin,” tambah kenyataan itu lagi.
Tambahnya, penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini.
Kenyataan itu juga memaklumkan anggota operasi rel dan Polis Bantuan Prasarana akan ditempatkan di stesen terlibat bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang. -airtimes.my