PASIR MAS, 7 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) terus komited melaksanakan Operasi Murni (Op Murni) pasca banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, 21 RAMD telah diaturgerakkan untuk membantu membersihkan rumah seorang warga emas dan pesara tentera di kawasan tersebut.
“Atas keperihatinan terhadap mangsa terjejas banjir yang amat memerlukan bantuan, pasukan ini telah diaturgerakkan untuk membantu membersihkan rumah seorang warga emas di Kampung Bakong Tengah, Pasir Mas yang tinggal berseorangan dan seorang pesara tentera di Taman Kobra, Cabang 4 Salam, Rantau Panjang,” katanya.
Manakala, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sukarelawan banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Bunga turut membantu membersihkan klinik kesihatan di Rantau Panjang pada Sabtu lalu. – airtimes.my