KUALA LUMPUR, 6 Jul – Seramai 235 bakal jemaah haji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlepas ke Tanah Suci semalam.
Selain anggota ATM, jemaah haji pada tahun ini turut disertai pesara tentera dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
Majlis Pelepasan Jemaah Haji ATM ke Tanah Suci Makkah telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien di Kuala Lumpur International Airport (KLIA), Kuala Lumpur.
Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bersyukur kerana setelah 2 tahun, jemaah haji akhirnya dapat ke Tanah Suci akibat wabak pandemik COVID-19.
“Tahun ini lebih bermakna dan membawa erti selepas 2 tahun berdepan dengan COVID-19, warga KEMENTAH, ATM serta veteran dapat menunaikan kewajipan,
“Perjalanan ini bukan sesuatu yang mudah, saya sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Kabinet dan wakil Perdana Menteri bersama-sama Menteri Agama telah berusaha sedaya upaya mencari peluang untuk insan yang terpilih menunaikan haji pada tahun ini,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Hishammuddin turut mendoakan agar perjalaan jemaah haji dipermudah dan kesemua mereka mendapat haji yang makbur serta menasihati agar menjaga kesihatan sebaiknya sepanjang disana.
Turut hadir ke majlis sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abudl Aziz serta ahli keluarga jemaah haji.
Jemaah haji ATM bakal mengerjakan ibadah haji bermula semalam sehingga 13 Ogos akan datang.
Markas ATM dalam kenyataan menjelaskan, selain daripada warga ATM, peserta haji pada tahun ini turut disertai oleh 76 daripada pesara tentera di bawah kuota Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan 47 orang kakitangan awam KEMENTAH.
“Seramai 6 orang petugas ATM turut membantu sebagai Mutawif berserta seorang pegawai perubatan bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan anggota ATM terjaga dengan lebih baik,” menurut ATM.
Terdahulu, pada tahun 2019 ATM telah menghantar seramai 164 anggotanya untuk mengerjakan haji.
Kesemua bakal haji berkenaan berlepas pukul 3 petang semalam dengan menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS).-airtimes.my