KUALA LUMPUR, 16 Apr – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap Tentera Rejim Israel yang telah menyerang penganut Islam Palestin termasuk anggota perubatan dan wartawan di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perbuatan keji dan tidak berperikemanusiaan tersebut amat dikesali.
Tambahnya, ia tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada hari Jumaat yang mulia dan ketika umat Islam Palestin sedang berpuasa serta menunaikan ibadah di dalam bulan Ramadhan.
“Tindakan Tentera Rejim Israel yang turut menyasarkan wanita dalam serangan tersebut merupakan satu tindakan yang kejam dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Saifuddin turut menegaskan, Malaysia akan terus konsisten dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Palestin.
Semalam, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera susulan pertempuran di antara tentera Israel dan rakyat Palestin apabila tentera menyerbu pekarangan masjid selepas solat Subuh pada Jumaat. -airtimes.my