[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=AHuMVj5juFA[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 19 Sept – “Saya ada simpan rakaman suara, gambar dan saya jadikan video untuk ‘tipu’ anak-anak ketika tidak dapat menghubungi suami,” ujar isteri kepada Bintara Muda (BM) Mohamad Izwan Fahmi, Nabila Roslan.
Jelasnya, beliau terpaksa menggunakan pelbagai cara dan ‘helah’ untuk mengambil hati anak-anaknya semasa bertanyakan tentang ayah mereka yang sedang berlayar ketika itu.
“Masa line (talian) telefon tiada, masa itu pula anak sakit. Nasib saya ada simpan rakaman suara dia (suami), gambar dia, jadi saya buat video dan anak-anak anggap ayah mereka sedang menghubungi mereka,
“Itu cara saya untuk tipu anak cakap ini papa, sedangkan itu voice note suara suami. Kekuatan kena ada, mesti ada pelbagai cara untuk ambil hati anak saya sendiri,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohamad Izwan Fahmi yang merupakan salah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai misi pelayaran Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Hawaii, Amerika Syarikat.
Jelasnya, walaupun sudah terbiasa berjauhan dengan suami, pelayaran kali ini tetap memberikan cabaran terutamanya ketika berhadapan dengan situasi anak yang tidak sihat.
“Seronok ada, sebak pun ada dengan kepulangan suami, anak-anak menanati kepulangan suami. Setiap hari anak-anak bertanya bila papa mereka hendak pulang, setiap hari soalan yang sama,
“Sepanjang suami berlayar, dugaan yang selalu datang adalah ketika anak sakit dan masa itu tiada ‘line’ telefon,
“Sebagai isteri tentera, saya kena kuat, nak tak nak kami memang kena tempuh, kebiasaannya apabila anak sakit mereka cari papa mereka,
“Saya sendiri menghidap penyakit asma. Jadi saya terpaksa ulang alik ke klinik, buat nap sendiri, balik, rehat dalam masa 2 atau 3 hari,
“Salah seorang anak juga ada asma, jadi saya kena kuat. Saya sendiri bawak anak pergi klinik, urus anak-anak yang lain, itu cabaran sebagai isteri seorang tentera,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, bekas pekerja bank ini turut berpesan untuk menjadi isteri seorang tentera harus mempunyai mental dan ketabahan yang tinggi.
Tambahnya, setelah seorang wanita itu bersetuju untuk berkahwin dengan anggota tentera, mereka juga harus ‘berkahwin’ dengan pekerjaannya sekali.
“Menjadi isteri anggota tentera ini, mental kena kuat, tabah hadapi dugaan yang akan datang,
“Kalau kita tidak kuat macm mana suami kita? Takkan kita nak desak dia. Suami mencari rezeki untuk kita. Bagi saya itu adalah satu kekuatan untuk mereka,
“Kita tak boleh nak desak atau tambah masalah mereka, kalau selalu desak dia, risau mereka tidak boleh fokus kepada pekerjaan mereka,
“Isteri-isteri anggota lain juga harus kuat seperti itu. Apabila kita sudah kawin dengan seorang anggota tentera, kita turut ‘berkahwin’ dengan pekerjaan dia sekali, “ ujar ibu kepada 4 cahaya mata itu.
KD LEKIR yang menyertai latihan peperangan maritim terbesar di dunia itu telah selamat kembali ke Malaysia pada 3 September lalu setelah mengharungi 97 hari pelayaran.
Ketibaan kru KD LEKIR disambut oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis bersama ahli keluarga yang menanti kepulangan ‘hero’ mereka. -airtimes.my