KUALA LUMPUR, 4 Dis – Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan akan membuat laporan polis terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin berhubung dakwaannya konon tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng adalah perancangan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan berkata penulisan Raja Petra bertajuk ‘The Fake Ashes Of Chin Peng’ yang disiarkan hari ini adalah satu fitnah.
“Timbalan Menteri Pertahanan tidak pernah membuat sebarang komen tentang perkara terbabit dan memandang serius tulisan fitnah Raja Petra,
“Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan akan membuat laporan polis terhadap fitnah. Sementara itu, semua pihak diminta bertenang dan tidak menyebarkan fitnah jahat tersebut,” kata kenyataan itu.
Laporan itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada jam 11 pagi.