KUALA LUMPUR, 30 Mei – Datuk Seri Saifuddin Nasution mengucap tahniah kepada Rafizi Ramli berikutan keputusan tidak rasmi pencabarnya itu memenangi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saifuddin dalam hantaran di media sosialnya berkata, walaupun belum dikira keputusan rasmi, beliau ambil sikap mudah dan jelas iaitu menghormati keputusan yang dibuat oleh anggota parti.
“Jawatankuasa Pemilihan Parti telah paparkan keputusan pemilihan pada hari ini (semalam). Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Chang Li Kang dan lain-lain pemenang,
“Syabas juga diucapkan kepada semua yang terpilih Ketua Cabang, AMK dan Wanita Cabang serta Jawatankuasa,” katanya pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturahim.
“Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. InshaaAllah KEADILAN akan terus kuat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tugasnya kini tertumpu penganjuran Kongres Nasional pada Jun ini.
“Kongres masih perlu berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan sesuai Akta Pertubuhan 1966,
“Sekitar 3 ribu perwakilan akan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat,” ujarnya.
Tambahnya, selesai proses tersebut, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempunyai satu barisan kepimpinan yang lengkap.
“Tugas saya bernoktah di situ. Tugas seterusnya..kepimpinan baru mempersiap parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya lagi. – airtimes.my