KUALA KANGSAR, 11 Dis- Polis telah menahan 6 pelajar yang juga suspek kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid seperti yang dilaporkan Bernama berkata, kesemua suspek yang berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir ketika memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kira-kira 6 petang.
“Setakat ini 6 pelajar telah ditahan semalam dan mereka masih berada dalam tahanan sehingga kini,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah pada 10 Disember 2021 jam lebih kurang 1 tengahari berkenaan dengan video pergaduhan yang tular di media sosial.
“Pihak polis telah mengambil tindakan untuk memanggil kesemua pelajar yang terlibat serta pemilik akaun akaun media sosial yang menularkan video berkenaan untuk membantu siasatan,
“Hasil siasatan awal, pergaduhan tersebut melibatkan 7 orang suspek remaja dan seorang mangsa remaja berumur 13 tahun yang berlaku pada 9 Disember 21 jam lebih kurang 1 hingga 2 pagi,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 kanun keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua 8 pelajar terlibat termasuk seorang mangsa telah dikenal pasti dan mereka dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.
Katanya, turut dipanggil untuk dirakam percakapan ialah pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian itu.
Pada masa yang sama, Mior menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dibimbangi boleh mengganggu siasatan yang dilakukan oleh pihak polis.- airtimes.my