TEHRAN, 21 JAN – Presiden Iran, Hassan Rouhani menegaskan tindakan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap Iran dan cubaan mencampuri urusan dalaman Venezuela adalah satu jenayah kemanusiaan.
“Amerika akan menerima padah apabila negara-negara yang menjadi mangsa tindakan mereka akan bangkit menentang,
“Tindakan kerajaan AS hari ini adalah salah kerana mensasarkan negara dan kerajaan berdaulat. Mereka telah berpakat untuk melaksanakan polisi Rejim Zionis di seluruh dunia,” kata Rouhani yang dipetik oleh Mehr News Agency.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Venezuela yang prihatin akan insiden pembunuhan Leftenan Jeneral Soleimani oleh AS di Baghdad pad 3 Januari lalu.
Terdahulu, Rouhani bertemu dengan Menteri Luar Venezuela, Jorge Arreaza.
Dalam perkembangan lain, Rouhani menzahirkan kesediaan Tehran untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Caracas.
“Venezuela merupakan rakan baik kepada Iran dan kami bersedia untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua pihak dalam banyak perkara,” kata Rouhani.
Beliau menambah, kedua-dua negara berpotensi untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang perlombongan, tenaga, pembinaan janakuasa serta sains dan teknologi.