KUALA LUMPUR, 1 Apr – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Cawangan Kementerian Pertahanan hari ini, menyumbangkan sumbangan bernilai RM30,000 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sumbangan itu disampaikan oleh isteri Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Muhaini Zainal Abidin, selaku Penaung PUSPANITA kepada petugas anggota ATM yang terlibat di dalam penugasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan itu telah disampaikan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, hari ini.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut Menteri Pertahanan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz.
“Selain PUSPANITA Cawangan Kementerian Pertahanan, barangan makanan ini turut disumbangkan oleh syarikat 99 Speedmart Sdn. Bhd dengan nilai keseluruhan RM30,000,” jelas kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu juga, PUSPANITA mengharapkan sumbangan berkenaan dapat membantu kebajikan warga ATM yang bertugas di barisan hadapan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.