[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=E0WuRVL-exE[/embedyt]
KOTA TINGGI, 11 Apr – Kementerian Pertahanan akan memperuntukkan RM1.34 juta bagi menaik taraf kemudahan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan itu meliputi menaik taraf penginapan penuntut kursus dan membaik pulih masjid di pusat latihan tersebut.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM6.4 juta bagi menaik taraf 32 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), RM2.2 juta dan RM1 juta untuk membaik pulih pagar dan dewan yang akan dimasukkan dalam bajet Kementerian Pertahanan pada tahun hadapan.
“Saya turun ke kem untuk mendengar taklimat, dan setiap kali mendengar taklimat tentulah ada permasalahan-permasalahan di kem yang saya pergi,
“Tujuan saya, jika boleh kita selesaikan setiap masalah yang ditimbulkan, kadang kita tidak mahu akhirnya masalah itu terbiar begitu lama tidak dapat diselesaikan,
“Ini mungkin mengendurkan semangat anggota, kita tahu anggota sentiasa bersemangat tetapi jika segala permasalahan dapat diselesaikan semangat yang lebih tinggi daripada sebelumnya,” katanya dalam ucapan semasa majlis ramah mesra ketika lawatan kerja ke PULADA, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Komandan PULADA, Kolonel Saiful Bahari Zainol.
Sempena lawatan tersebut, beliau berkesempatan membuat lawatan kebajikan ke atas anak-anak anggota tentera yang mengalami masalah kesihatan di RKAT PULADA. – airtimes.my