JOHOR BAHRU, 5 Apr – Seramai 6 wanita warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas dipercayai terbabit dengan sindiket pusat rawatan kecantikan tanpa tauliah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keatas serbuan 2 premis di Johor Bahru, pada 27 Mac lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Operasi Estetik bermula jam 12.17 tenghari itu melibatkan pegawai JIM dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Johor, KKM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Johor Bahru.
“Hasil semakan lanjut terhadap 6 orang wanita warga Vietnam tersebut mendapati 3 orang mempunyai Pas Lawatan Sosial (isteri kepada warganegara), 2 orang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS Pembantu Rumah) dan seorang lagi telah tinggal lebih masa,
“Modus operandi sindiket adalah sama seperti rangkaian sindiket di kawasan Lembah Klang yang ditumpaskan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, pusat kecantikan ini aktif mempromosikan perniagaan di media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook dengan memuat naik gambar atau video testimoni pelanggan yang sudah berjaya menjalani rawatan berkenaan.
Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu wang tunai sebanyak RM56,300 yang disyaki hasil aktiviti perniagaan dan peralatan Estetik yang digunakan untuk aktiviti ini disita serta dirampas oleh KKM.
“Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,
“Kes akan di siasat secara lanjut oleh KKM atas mana-mana pelanggaran yang berkaitan dan tahanan ditempatkan di Depot Imigresen untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Pada masa sama, Khairul Dzaimee menegaskan, JIM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk menumpaskan sindiket atau individu yang menjalankan kegiatan ini untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang bahaya rawatan kecantikan yang tidak bertauliah.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” jelasnya. – airtimes.my