BATU PAHAT, 12 Jan – Agnesi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat telah menggagalkan cubaan menyeludup masuk 5 laras senapang angin disyaki dari Indonesia di perairan Pulau Sialu, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, hasil maklumat risikan dan intipan berterusan terhadap aktiviti penyeludupan di perairan Batu Pahat, pihaknya telah menemukan dan merampas 5 laras senapang angin disyaki cuba diseludup masuk.
“Rampasan dilakukan susulan maklumat risikan mengenai aktiviti berkenaan pada jam 7.20 malam dan aset APMM diatur gerak melaksanakan pemantauan sekitar lokasi,
“Tiada sebarang pergerakan bot atau suspek mencurigakan di sekitar lokasi penemuan,
“Namun ketika pasukan operasi melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan Beacon Panjang Utara telah menjumpai satu karung guni putih dan satu beg hitam berisi senjata api jenis senapang angin,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Mohammad berkata, pihaknya turut menemui sebuah kotak besi berisi peluru jenis ‘bearing’ di kedudukan lebih kurang 13.5 batu nautika barat daya Pulau Sialu.
“Keseluruhan barang berkenaan dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 dan kemudiannya dibawa ke APMM Batu Pahat untuk siasatan lanjut,
“Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan khususnya di perairan Batu Pahat.
Tambahnya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.-airtimes.my