PERAK, 11 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menyelamatkan 2 penyelam yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam berhampiran Pulau Jarak, pada Sabtu.
Kedua-dua mangsa lelaki tempatan berusia 34 dan 36 tahun dikesan anggota TLDM yang sedang melakukan rondaan di Stesen Jarak TLDM, Pulau Jarak pada jam 7.15 malam.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, mereka ditemui sedang berpaut pada sebuah pelampung merah berhampiran stesen berkenaan.
“Tindakan pantas anggota TLDM berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dalam keletihan dan mengalami dehidrasi,
“Mereka seterusnya telah diperiksa dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya dalam kenyataan semalam.
TLDM menjelaskan, kapal KD LEKIU yang sedang dalam penugasan Operasi Benteng Laut dan berada paling hampir dengan lokasi kejadian diarahkan memberikan bantuan awal bagi proses pemindahan kedua-dua mangsa.
“2 buah Fast Combat Boat (FCB) dari Markas Pemerintahan Armada Barat telah diaturgerak ke Stesen Jarak TLDM bagi membawa pulang 2 orang mangsa tersebut ke Tambatan Pangkalan TLDM Lumut sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membuat laporan lanjut kejadian,” katanya.
Sementara itu, TLDM turut menasihati orang awam untuk memaklumkan sebarang pelaksanaan aktiviti maritim yang berisiko seperti ini kepada pihak berkuasa seperti APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau TLDM sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Selain berperanan sebagai maklumat kepada pihak berkuasa maritim yang berdekatan, ia juga bagi menentukan bantuan dapat disalur dan diatur gerak dengan lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Terdahulu, 2 penyelam berasal dari Kampung Aceh, Lumut dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti selam skuba bersama 3 rakan di perairan Pulau Jarak.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7.04 malam.
Katanya, maklumat kemudian turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan Maritim Component Operation Comander (MCOC) untuk bantuan dalam usaha menyelamatkan mangsa. -airtimes.my