KOTA KINABALU, 10 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah merampas dua buah sampan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pengeboman ikan sekitar Pulau Gaya, pada Rabu.
Pengarah APMM Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan bagaimanapun berkata dua individu daripada bot berkenaan berjaya melarikan diri, selepas terjun ke laut ketika operasi khas dijalankan pada jam 9.50 pagi tadi.
“Setelah diperiksa sampan tersebut didapati mempunyai bahan letupan dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Kamaruszaman berkata operasi itu ditumpukan di kawasan Teluk Likas dan sekitar Pulau Gaya untuk membanteras kegiatan pendatang asing tanpa izin, menggunakan bom untuk menangkap ikan.
Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Perikanan 1985, yang memperuntukan denda RM20,000.00 atau penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA