SELANGOR, 4 Sept – Pasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan IPD Kuala Langat berjaya menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ketika dalam cubaan memasuki negara di di Ladang Kelapa Sawit Sungai Judah, Pulau Carey, pada Khamis.
National Task Force (NTF), dalam hantaran di media sosialnya berkata, kesemua mereka ditahan pada jam 8.30 ketika anggota PGA Semenyih melakukan rondaan Operasi Benteng di kawasan berkenaan.
“PATI yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 tahun yang mana 10 daripada mereka adalah lelaki dan 10 lagi wanita,
“Mereka ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan laut menggunakan bot sebelum mendarat di kawasan jeti Sungai Judah, Pulau Carey,” menurut hantaran itu.
Tambahnya,kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Telok Panglima Garang untuk siasatan lanjut. -airtimes.my