KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pemuda PAS menggesa kerajaan agar meminimumkan semula masa dengan menutup semua kelab malam dan pub bermula jam 12 tengah malam.
Ia susulan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membenarkan pembukaan semula premis terbabit setelah operasinya dihentikan selama 2 tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nazir Helmi menjelaskan, pembukaan pusat hiburan seperti kelab malam ini akan membuka ruang-ruang kepada kenaikan semula kadar jangkitan COVID-19.
“Pemuda PAS meminta pihak MKN, KPKT dan PBT untuk memberikan penjelasan ke atas usaha pembukaan semula pub serta kelab malam ini,
“Bagaimanapun, pihak MKN dan KPKT perlu bersegera bersikap rasional dalam membuat keputusan terhadap pembukaan kelab-kelab malam ini beroperasi dengan pengawalan yang lebih ketat yang perlu dikenakan terhadap pusat-pusat hiburan,
“Begitu juga dengan PBT yang memberikan lesen kepada kegiatan pusat-pusat hiburan ini, sepatutnya bertegas dalam pemantauan seperti membatalkan lesen bagi premis yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelasnya dalam hantaran di media sosialnya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nazir mencadangkan agar pihak MKN, KPKT dan PBT untuk memberikan pantauan dan kawalan terhadap operasi pembukaan pusat hiburan kelab-kelab malam dan pub tersebut.
“Antara pemantauan yang dicadangkan termasuklah, masa beroperasi perlu diminimumkan dengan menutup semua premis hiburan bermula jam 12 tengah malam,
“Menggesa agar kelab malam tidak dibuka pada tempat yang bukan tempat tumpuan pelancongan bagi pelancong luar negara dan di kawasan perumahan yang majoritinya Melayu Islam,
“Meminta pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan terhadap kelab malam haram yang beroperasi tanpa lesen dan yang melanggar peraturan serta tidak membenarkan orang Islam memasuki premis tersebut,” katanya.
Pada 27 April lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kelab malam akan dibenarkan dibuka semula mulai 15 Mei ini apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik senarai aktiviti dilarang akibat wabak COVID-19.
Semalam, KPKT telah memaklumkan, premis hiburan tersebut dibenarkan kembali beroperasi berkuat kuasa Sabtu ini dan protokol pengoperasian pusat hiburan tersebut telah dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di asset.mkn.gov.my.
KPKT turut mengeluarkan garis panduan yang disenaraikan di bawah Protokol Operasi Pub dan Kelab malam Berlesen yang berkuat kuasa Sabtu ini.
Jelasnya, protokol tersebut mengambil kira faktor risiko penularan jangkitan COVID-19 yang tinggi di pub dan kelab malam memandangkan premis berkenaan adalah ruang tertutup dengan ventilasi yang tidak mencukupi, penjarakan fizikal yang sukar dipatuhi dan tidak dapat mengamalkan pemakaian pelitup muka sepenuhnya.
Antara protokol yang perlu dipatuhi termasuklah pelanggan perlu sentiasa memakai pelitup muka semasa berada dalam premis kecuali semasa aktiviti makan, minum dan menari.
“Kapasiti premis yang dibenarkan adalah 100 peratus termasuk ruang tari, manakala waktu operasi adalah mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan,” tambah KPKT. -airtimes.my