LUMUT, 4 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki bersauh tanpa kebenaran di 14.7 batu nautika Pulau Pangkor, pada Khamis.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) Laut dan Operasi Pintas (Op Pintas) di sekitar perairan Pulau Pangkor telah mengesan sebuah kapal yang sedang bersauh.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh oleh Jabatan Laut Malaysia apabila diminta oleh anggota bot peronda APMM,
“Kapal tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan dibantu oleh 25 orang kru kesemuanya warga China telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosial APMM hari ini.
Beliau berkata, nakhoda dan ketua jurutera kapal seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, pada 29 November lalu Kapal Maritim (KM) NYALAU telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melakukan kesalahan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari daratan di posisi lebih kurang 3.9 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada jam lebih kurang 11.00 pagi.
“Tangkapan yang dilakukan oleh KM NYALAU di dalam litupan radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut,
“Bot terbabit yang dikendalikan oleh seorang tekong dan dua orang kru kesemuanya warga Thailand telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen,” jelasnya.
Menurutnya, tekong dan kru serta bot ditahan dengan hasil tangkapan dianggarkan 200kg itu diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – airtimes.my