KUALA LUMPUR, 5 JUN – PT Dirgantara Indonesia (PTDI) mengintai peluang untuk memasarkan pesawat pengangkut ringan N219 di sini apabila menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan.
Ia melibatkan kerjasama dengan Airod Sdn. Bhd. (AIROD) dan SME Aerospace menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023) lalu.
MoU dengan AIROD mencakupi kerjasama pemasaran serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat N219 di Malaysia.
Bagi kerjasama dengan SME Aerospace pula, ia membabitkan bidang perniagaan aerostruk.
Direktur Utama PTDI, Gita Amperiawan berkata, Malaysia berpotensi menjadi pengguna pesawat pengangkut ringan N219 sekali gus melebarkan lagi pasaran global.
Katanya, kerjasama tersebut bakal memacu peluang syarikat untuk terbabit dalam industri terbang di sini.
“PTDI berbesar hati bekerjasama dengan AIROD untuk menawarkan perkhidmatan terbaik bagi pesawat N219.
“MoU ini juga menandakan fasa penting pada kami untuk N219 memasuki pasaran global,” ujarnya.
Majlis menandatangani MoU tersebut dimeterai antara Gita Amperiawan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AIROD, Mejar Jeneral (B) Dato’ Ismail Ibrahim pada pameran LIMA 2023 lalu di Langkawi.
MoU dengan SME Aerospace pula disempurnakan beliau dengan Presiden National Aerospace & Defense Industries (NADI), Brigadier Jeneral (B) Dato’ Abdul Rahim Abdul Rahman.
Majlis turut disaksikan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.
Airod yang berpangkalan di Subang, Selangor melaksanakan perkhidmatan MRO kepada pesawat tentera dan komersial dari 33 negara.
N219 ialah pesawat yang direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Indonesia sesuai dengan rupa bentuk geografi serta keperluan bagi penerbangan jarak dekat.
Ia dibangunkan berasaskan pesawat CASA C212 Aviocar buatan Sepanyol.
Pesawat ini boleh membawa 19 penumpang selain digunakan untuk pelbagai tugas seperti pengangkutan, kargo, ambulans udara serta operasi mencari dan menyelamat. – airtimes.my