KUALA LUMPUR, 28 Apr – Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula pada tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tiada peperiksaan ganti bagi ujian Murid Tahun 6 namun, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk 2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
“Selari dengan itu, Pertaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) juga dimansuhkan,”katanya pada sidang akhbar khas di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Radzi menjelaskan, keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus melibatkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.
Menyentuh pembatalan PT3, katanya, beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tempoh masa yang ada bagi pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru di sekolah.
“Jika kita lihat keadaan penularan COVID-19 masih belum dapat ditangani sepenuh dan kita memgambil kira keadaan semasa dan mengambil kira bahawa tanpa pelaksanaan PT3, keadah pentaksiran murid boleh terus dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, kaedah pentaksiran bagi peperiksaan itu untuk tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iatu menerusi PBS yang turut merangkumi komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikokemterik (PPsi).
“PT3 dibatalkan tahun ini namun pentaksiran ini kekal dalam sistem pentaksiran kebangsaan dan ini berbeza dengan UPSR yang dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021,”- airtimes.my