KUALA LUMPUR, 2 Nov – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung semalam bersetuju untuk mencadangkan pembentukan sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh semua ketua parti dalam kerajaan PN.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keanggotaan oleh semua ketua parti ini adalah sebagai platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.
“Mesyuarat MT PN telah berlangsung dengan kehadiran penuh pada 1 Disember 2020 untuk membincangkan persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mesyuarat semalam telah dipengerusikan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Faizal Azumu dan turut hadir Timbalan-timbalan Pengerusi PN bersama semua ahli MT yang lain.
“Selain itu, mesyuarat MT juga memutuskan bahawa PN akan segera melaksanakan program-program flagship di seluruh negara untuk membantu kebajikan semua lapisan rakyat,” ujarnya. – airtimes.my