BUKIT MERTAJAM, 26 Mei – Semua wakil rakyat Pakatan Harapan diminta jangan bersikap membalas dendam terhadap musuh politik, sebaliknya, menunjukkan kesederhanaan dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan mempunyai tanggungjawab yang besar selepas menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu dan menggalas amanah yang diberi dengan sebaik mungkin.
Beliau mengingatkan wakil rakyat PH supaya menunjukkan kesederhanaan dan elak daripada kegiatan boros dan rasuah yang sebelum ini digunakan untuk menyerang pemerintah semasa berada di pihak pembangkang.
“Kita dah menang tak perlu lagi menyerang lawan. Kita tidak boleh bergerak atas dasar dendam. Dendam itu penyakit hati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Iftar Perdana di Yayasan An-Nahdhoh, di Bukit Mertajam semalam.
Terdahulu, Anwar menyampaikan tazkirah sebelum menunaikan solat Maghrib dan diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk Permatang Pauh.
Menyifatkan kini adalah zaman kebebasan media, Anwar berkata setiap wakil rakyat sentiasa akan dipantau oleh rakyat dan mereka perlu menunjukkan komitmen sebagai tanda terima kasih kepada rakyat kerana terus setia menyokong serta memberi kepercayaan kepada PKR dan Pakatan Harapan.
“Oleh itu, mereka (wakil rakyat) perlu tahu, rakyat kini yang lebih sedar akan menilai prestasi kita, tidak seperti regim sebelum ini yang semunya dikawal, sekarang ini semua lebih terbuka,” katanya.
Ditanya mengenai perasaannya selepas kembali ke kampung halaman, Anwar berkata beliau sangat bersyukur dan terubat sedikit kerinduan kepada kawan-kawan dan keluarga serta penduduk di Permatang Pauh.
“Alhamdulillah saya syukur nampak kawan-kawan dan keluarga. Semangat dan kesetiaan mereka cukup kuat. Permatang Pauh ini luar biasa, sambutannya… kasih sayangnya. Saya sangat terharu,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau akan pulang ke Permatang Pauh pada Aidilfitri ini, Anwar berkata: “Saya akan pulang ke kampung halaman tapi kena ikut jadual Timbalan Perdana Menteri (isterinya) (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)”.