KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Gabungan pemuda Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) sekali lagi menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan kadar segera atau negara akan berdepan dengan satu lagi protes jalanan.
Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata, sekiranya Muhyiddin tidak berbuat demikian, SSR akan sekali lagi mengadakan protes #Lawan yang lebih besar daripada yang dilakukan pada 31 Julai lalu.
“Kami menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dengan segera. Jika tidak, kita akan menggerakkan jumlah rakyat yang lebih besar untuk turun ke jalan pada 21 Ogos,
“SSR ingin mengajak semua rakyat Malaysia, terutama anak muda untuk merapatkan barisan rakyat dan bersiap sedia untuk turun ke jalan sekali lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu turut menyalahkan Muhyiddin atas kegagalan kerajaan menangani pelbagai isu yang dihadapi negara, termasuk pandemik COVID-19, ketidaktentuan ekonomi dan politik negara.
“Kegagalan beliau telah menyebabkan negara kita masih terkial-kial untuk keluar daripada kesan pandemik terutamanya apabila kes harian sudah meningkat ke 20,000 kes dan kematian telah mencapai 10,000 semalam,
“SSR percaya kerajaan ini adalah kerajaan yang gagal dan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan gagal ini juga perlu tahu bila mereka patut mengundurkan diri dan memberikan ruang kepada pihak lain untuk menerajui negara,” tambahnya.
SSR sebelum ini mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 31 Julai bertujuan untuk menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan.
Susulan daripada itu, polis menjalankan soal siasat terhadap pihak penganjur dan juga peserta protes tersebut.
Polis turut memanggil sekurang-kurangnya seorang peguam dan lebih 20 petugas media untuk membantu siasatan berhubung protes tersebut. -airtimes.my